Sedikit cerita untuk pengajaran semua...
Usia ayah menjangkau 70 tahun, namun tubuhnya masih kuat. Dia mampu menunggang basikal ke kedai yang jauhnya lebih kurang 2 kilometer bagi membeli keperluan harian. Sejak kematian ibu 6 tahun lalu, ayah bersendirian di kampung. Lantaran itu, kami adik-beradik -5 orang semuanya- bergilir-gilir menjenguknya.
Kami semua sudah berkeluarga, tinggal pula jauh dari kampung halaman di Teluk Intan. Sebagai anak lelaki sulung, aku mengambil tanggungjawab yang lebih. Selain itu, kami adik-beradik sering menelefon ayah bertanya khabar dan sebagainya. Setiap kali aku menjenguknya, setiap kali itulah isteri saya mempelawa dia tinggal bersama kami di Kuala Lumpur.
"Tak apalah, lain kali aja...!" jawab ayah. Puas 2 orang anak aku merayu-rayu, ayah tetap bertegas. Itu jugalah jawapan ayah kalau Kak Long mempelawanya, Kak Ngah mendesak ataupun adik-beradik aku yang lain merayunya. Bagaimanapun sesekali ayah mengalah. Namun sehari 2 berada di rumah anak-anaknya, dia minta dihantar balik. Ada-ada saja alasannya.
Suatu hari Januari lalu, ayah mengikut aku ke Kuala Lumpur. Kebetulan sekolah masih bercuti, seronoklah anak-anak aku bermain dan bergurau senda dengan atuk mereka. Masuk hari ketiga, dia merayu nak balik kampung. Seperti biasalah, ada-ada saja alasan tak logik yang diberikannya. "Saya sibuk ayah, tak boleh nak ambil cuti. Tunggulah sikit lagi, ataupun hujung minggu ni saya hantar ayah," balas aku. Anak-anak aku turut memujuk atuk mereka. "Tak apalah kalau kamu sibuk sangat, belikan ayah tiket di Puduraya, biar ayah naik bas," katanya membuat aku bertambah kecewa. Memang ayah pernah berkali-kali naik bas pulang ke kampung sendirian.
"Tak usahlah..." kata aku memujuk dan merayu selepas makan malam itu. Ayah diam terus masuk ke bilik bersama cucu-cucunya. Bagaimanapun esok paginya ketika aku bersiap untuk ke pejabat, ayah sekali lagi berpesan minta aku belikan tiket bas di Puduraya. "Ayah ni, tak faham ke, saya ni sibuk, sibuuuukkkk!!!" balasku terus keluar menghidupkan enjin kereta.
Aku tinggalkan ayah terkontang-kanting di muka pintu. Sedih aku tengok mukanya. Di dalam kereta, isteri aku memujuk. "Buat apa kasar sangat dengan ayah ? Cakaplah elok-elok! Kesian dia...!" Aku terus membisu.
Sebelum isteriku turun kereta sebaik tiba di pejabatnya, dia berpesan agar aku penuhi permintaan ayah. "Jangan lupa bang, belikanlah tiket ayah," katanya ringkas. Di pejabat aku termenung panjang. Lalu aku meminta cuti kecemasan, terus ke Puduraya membeli tiket Transnasional ke Teluk Intan.
Pukul 11.00 pagi aku sampai ke rumah, terus beritahu ayah supaya bersiap. "Bas bergerak pukul 2.00," kataku ringkas. Saya mengaku bersikap agak kasar ketika itu kerana didorong rasa marah dengan sikap degil ayah. Ayah tanpa banyak kerenah bersiap.
Dia masukkan baju dan kain ke dalam beg sandang. Lebih kurang pukul 12.30 aku bergerak ke Puduraya. Dalam perjalanan lebih kurang 1 jam itu, sepatah pun aku tidak bersuara. Selalunya aku dan ayah akan bersembang panjang setiap kali naik kereta bersama. Ada-ada saja yang kami bualkan.
Hari tu ayah tahu aku marahkannya. Dia pun enggan menyapaku. Tiba di Puduraya, aku terus menghantar ayah ke tingkat bawah stesen bas itu. Selalunya aku akan membimbing lengan ayah tapi hari itu aku biarkan ayah turun sendiri, cuma aku perhatikan agar langkahnya tidak terganggu.
Setelah aku pastikan nombor tempat duduk ayah, aku bersalam dan terus turun dari bas. Ayah langsung tidak memandangku sebaliknya dia memandang ke luar tingkap. Ayah merenung jauh. Tepat pukul 2.00 bas bergerak. Aku pandang ayah tapi dia masih melemparkan pandangan ke luar tingkap mengelak daripada memandangku. Setelah bas bergerak jauh, aku menaiki tangga menuju ke kereta. Semasa melalui gerai-gerai di hentian paling sesak itu, aku terpandang susunan kek pisang di atas meja. Langkahku terhenti.
Berdesup fikiran teringatkan ayah kerana dia cukup suka makan kek itu. Pernah 2-3 kali kalau dia menaiki bas pulang ke kampung, dia akan meminta aku belikan makanan kegemarannya. Tapi hari itu ayah tidak minta apa-apa.
Aku terus memandu pulang. Tiba di rumah, fikiran rasa tidak menentu. Ingatkan kerja di pejabat, ayah yang dalam perjalanan dan isteri yang berada di tempat kerjanya. Malam itu sekali lagi aku meneruskan keegoan saya apabila isteri meminta aku agar menelefon ayah di kampung seperti yang aku lakukan setiap kali ayah pulang dengan bas. Malam berikutnya, isteri bertanya lagi sudahkah aku hubungi ayah. "Takkan tak sampai-sampai lagi," jawabku meninggikan suara. Dinihari itu, aku menerima panggilan telefon dari Hospital Teluk Intan.
"Pak Long dah tak ada..." kata sepupuku di hujung talian. "Dia meninggal 5 minit tadi selepas mengadu sesak nafas Maghrib semalam." Terlalu sebak dia hendak meneruskan kata-kata, selain meminta aku pulang segera. Aku terjelepok di lantai. Gagang masih di tangan. Isteri datang menerpa. "Kenapa bang?" Saya hanya menggeleng-geleng, agak lama baru mampu memberitahu "Ayah dah tak ada!" Tiba di kampung akulah yang paling hiba sekali. Tidak berhenti-henti menangis berbanding kakak dan adik-adik saya. Barulah saya sedar betapa berharganya seorang ayah dalam hidup ini. Kek pisang, kata-kata aku pada ayah, sikapnya semasa aku di Puduraya, kata-kata isteri membeli tiket silih berganti menyerbu fikiran.
Hanya Tuhan yang tahu betapa luluhnya hati aku apabila teringatkan itu semua. Aku amat terasa kehilangan ayah yang pernah menjadi tempat aku meluahkan rasa, seorang rakan yang sering bersimpati dan ayah yang cukup mengerti perasaan seorang anak. Kenapalah aku tidak dapat membaca gerak rasa seorang tua yang merindui belaian kasih sayang daripada seorang anak yang akan ditinggalkan buat selama-lamanya.
Kini telah 5 tahun berlalu. Setiap kali pulang ke kampung, hati aku bagai dirobek-robek apabila memandang nisan di atas pusara ayah. Aku tidak dapat menahan air mata apabila terkenangkan semula peristiwa pada hari-hari terakhir aku bersamanya. Aku merasa amat bersalah dan tidak akan memaafkan diri ini. Benarlah kata orang, kalau hendak berbakti biarlah semasa ayah dan ibu masih ada. Apabila sudah tiada, menangis air mata darah sekalipun tidak bererti lagi.
Kepada pembaca yang masih ada ayah, jagalah perasaan seorang tua. Kasihi mereka sebagaimana mereka menjaga kita sewaktu kecil dulu.
No comments:
Post a Comment